" Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya, dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat."

Ilmu Itu Cahaya ( Peringatan Buat Diri )

| Friday, March 26, 2010
Al Quran diturunkan kepada manusia agar mereka berfikir akan maksud yang disampaikan, menghayati segala perintah al Quran yang begitu menggegarkan jiwa. Begitu jelas firman Allah yang pertama diturunkan kepada Rasulullah salallahualaihi wasalam berbunyi ; “Iqraa’”, bermaksud; Bacalah. Lalu, bagaimana kita menjadi umat yang diturunkan padanya satu surah yang memerintah untuk ‘membaca’, tetapi kita malas membaca, atau malas menggunakan kaedah-kaedah lain untuk meningkatkan pengetahuan? Menurut Dr. Raghib as Sarjani, membaca itu bukan hobi semata-mata tetapi merupakan kewajipan setiap manusia. Kerana itu, tidak wajar seorang manusia berkata; “Saya tidak minat membaca” atau “Hobi saya membaca”. Bukankah perutusan Jibril alaihissalam yang pertama kepada Muhammad salallahualaihi wasalam berbunyi Iqra’? Peristiwa ini memberikan sejumlah ibrah kepada umat Islam supaya menjadi umat yang ‘membaca’, dalam erti kata lain meningkatkan pengetahuan kerana Jibril tidak akan membacakan sesuatu ‘kitab’ untuk kita.

Untuk membuktikan kepentingan membaca itu, Rasulullah salallahualaihi wasalam sendiri pernah mengarahkan tawanan-tawanan musyrikin di perang Badar mengajarkan umat Islam ‘membaca’. Hal ini menunjukkan kaedah-kaedah mencapai ilmu, sangat ditekankan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam. Lafaz perintah yang ada pada kalimah - ( Iqra’ ) itu mengkehendaki kepada umatnya agar bersikap konsisten dalam sesuatu perkara yang tidak dianggap remeh. Topik ‘membaca’ atau ‘menuntut ilmu’ bukanlah perkara yang besar bagi penuntut-penuntut di al Azhar kerana masing-masing faham dan tahu keutamaan ilmu kepada manusia, malah mampu mengumpulkan seberapa banyak dalil mengenai kelebihannya. Tetapi, yang menjadi isu besarnya ialah ‘usaha’ dan kesungguhan.

Perhatikan ayat ini yang menggambarkan maha teliti Allah dalam menghasilkan karya cipta-Nya ;

تَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ

“Dan engkau melihat gunung-ganang lalu menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; demikianlah perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan begitu teliti (rapi). Sesungguhnya Dia (Allah)amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan” – an Naml:88, al Quranul Karim.

Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Bazzar di dalam musnadnya, Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam bersabda;

إن الله يحب أحدكم إذا عمل عملا ان يتقنه

[ Sesungguhnya Allah menyukai seseorang yang apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan, dilaksanakannya dengan tekun ]

Dalam satu peristiwa perang Uhud, Rasulullah salallahualaihi wasalam turut mengajarkan kepada tentera-tentera Islam yang ditugaskan untuk memanah tentera musyrikin agar bersungguh-sungguh (tekun) menuruti strategi Baginda. Perintah Baginda salallahualaihi wasalam kepada mereka ;

لا تتركوا أماكنكم ولو رأيتم الطيور تتخطف

[ Jangan kamu tinggalkan tempat kamu sekalipun kamu telah melihat burung-burung datang menyambar kami ]


Ilmu pengetahuan yang mantap, mustahil dimiliki dengan jampi serapah, summon, tangkal atau apa jua perkara khurafat yang bertujuan untuk mencapai sesuatu dengan jalan mudah. Tetapi ia merupakan anugerah Allah Taala yang diperolehi dengan usaha dan ketekunan, tidak kira sama ada anda menadah kitab di hadapan masyaheikh ataupun memuat-turun sesi kuliah mereka di sesawang dunia tanpa sempadan (internet). Imam Syafie rahimahuLlah dalam syairnya telah menggariskan syarat-syarat untuk menuntut ilmu sebagai berikut:

أخي لن تنال العلم الا بسته ؛ ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة وصحبة استاذ وطول زمان

[ Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ; cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi ustaz (ilmuan) dan masa yang panjang ]

Peluang untuk meningkatkan prestasi bermaklumat dan mencipta budaya akademik dengan menghadiri kuliah-kuliah pengajian, begitu terbentang luas di bumi al Azhar. Tokoh al Quran, Luqman al Hakim pernah berpesan kepada anaknya;

يا بني جالس العلماء وزاحمهم بركبتيك، فإن القلوب تحيا بالعلم كما تحيا الأرض الميتة بوابل المطر

[ Wahai anakanda, hadirlah ke majlis-majlis para ulama’ dan lazimilah duduk bersama mereka (mendengar pengajian) kerana sesungguhnya hati sanubari itu akan hidup dan sihat dengan ilmu pengetahuan seperti suburnya tanah yang disirami air hujan ] Dr. Yusuf al Qardhawi: 55, al Fatwaa bayna Indibadh wa at Tasayyub. Maktabah al Islami, Beirut, cetakan kedua 1995.

Pergi ke kuliah, hadir ke kelas bimbingan ,membuat ulangkaji, menjauhi maksiat, disiplin diri yang ketat serta menyampaikan pengetahuan tersebut kepada orang lain adalah antara agenda yang mesti ditunaikan sebagai penuntut ilmu. Kesemua itu adalah amanah yang kita maklumi sebagai mahasiswa Muslim yang beriman dengan Allah Taala. Rela atau tidak, seluruh masyarakat Malaysia menganggap kita sebagai ulama’, mufti, ustaz atau tempat rujukan pada perkara-perkara agama. Perhatikan hadith ini ;

العلماء أمناء الله فى خلقه

[ Para ulama adalah orang-orang kepercayaan Allah di kalangan makhluk-Nya ] – al Qurthubi dan Ibn ‘Asakir daripada Anas di sahihkan Imam as Suyuti (al-Fath al-Kabir,2:251), kitab kuliah al Azhar.

Jika tumpuan kita di bumi al Azhar lebih banyak leka daripada tekunnya, lebih banyak lena dari celiknya, kitalah bahan ‘fitnah’ ke atas institusi al Azhar. Hal ini disentuh oleh Ustaz Hairul Nizam b. Mat Hussain, mantan Presiden PMRAM sebagai punca kepincangan yang berlaku pada mentaliti mahasiswa Al Azhar hari ini ;

a) Tidak menjiwai konsep ulama’ pewaris Nabi.
b) Belajar semata-mata untuk menduduki dewan peperiksaan.
c) Tidak mempunyai misi untuk memperbaiki kefahaman masyarakat terhadap Islam.
d) Tidak bersungguh menguasai ilmu.

Kita terpaksa menyedari bahawa Universiti al Azhar terpaksa menyediakan satu sistem pengajian yang tidak mampu memberikan kesemua kepakaran ilmu di ruang-ruang sesi perkuliahan. Ini kerana, hakikat ilmu Islam begitu luas dan tidak akan mampu diterokai sehabis-habisnya sekalipun dengan masa yang lama. Allah Taala berfirman ;

قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika lautan itu tinta untuk tulisan kalimah Tuhanku, nescaya keringlah lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku ditulis, walaupun dibekalkan lagi seumpamanya.” - (al-Kahf: 109).

Rumusan mengenai ayat di atas menunjukkan betapa maha luasnya ilmu Allah Taala. Walaupun begitu, Allah Taala tidak memerintahkan kepada hamba-Nya untuk bersikap malas meningkatkan ilmu. Inilah apa yang dikesalkan, dalam keadaan kita menyedari hakikat betapa susahnya bagi seorang Azhari menguasai kesemua ilmu-ilmu Islam. Tiba-tiba kita mudah bertemu dengan kelompok yang begitu banyak istirehat, sangat berlebihan di atas tilam, bersangatan di hadapan komputer dengan perkara-perkara yang membuang masa dan menjadikan agenda penguasaan ilmu sebagai agenda “jarang-jarang”. Sedari tanggungjawab pemegang ilmu Islam di hadapan Allah, adalah sebagai kubu pertahanan agama-Nya. Hal ini sepatutnya menimbulkan rasa takut yang terbit dari hati dan seterusnya mengawal diri dari bersikap cuai dan cemar.

Berusaha & Berdoa & Bertawakkal Untuk Berjaya

Kita sebenarnya sangat beruntung kerana berpeluang berada di sebuah institusi yang begitu tersohor menghasilkan para murabbi, para mujaddid, para mufakkir, sasterawan Islam prolifik dan sejumlah besar cendikiawan yang mahir di setiap disiplin ilmu dengan semangat yang berkobar-kobar memperjuangkan agama Islam. Walaupun dalam usaha untuk mencapai level seumpama ‘mereka’ kita bakal menghadapi 1001 macam kesukaran, namun untuk mara meneruskan survival ilmu di al Azhar tidak pernah berhenti. Kerana di dalam Islam, tidak ada pepatah Melayu seperti ;

“..Untung sabut timbul, untung batu tenggelam..”

“..Malang tak boleh ditolak, mujur tak boleh diraih..”

“..Belajar tinggi-tinggi, akhirnya kupas bawang juga..”

“..Ulat dalam batupun boleh cari rezeki..”, dan yang seumpama lafaznya untuk kita bersedia dengan sikap statik pada tahap kemampuan yang ada. Hakikatnya, kita diwajibkan menggunakan seluruh pancaindera dan berusaha menggunakan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada kita, tanpa kita lupa untuk berdoa, memohon dan berserah kepada-Nya . Allah Taala berfirman ;

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” – ar Ra’du:11, al Quranul Karim.

Mengerahkan Ilmu Untuk Amal Ijtima’ie

Secara sainsnya, pelita tidak akan bercahaya jika tidak dibakar. Cahaya pelita pula akan malap dan padam jika ia dibakar ditempat bilik terkunci tanpa udara. Demikian juga hakikatnya ilmu, ilmu itu diiktiraf sebagai cahaya apabila ia memberi manfaat kepada orang lain. Tetapi, ilmu itu akan malap jika fungsinya digerakkan hanya pada ruang lingkupnya sahaja. Ada hadith berbunyi ;

العلماء مصابيح الارض وخلفاء الانبياء وورثتي وورثة الانبياء

[ Para ulama adalah pelita-pelita bagi bumi, khalifah(pengganti) para nabi, pewarisku dan pewaris para Nabi ].

“Cahaya, pelita-pelita di bumi”, bukannya cahaya pelita-pelita di dalam rumah atau pelita-pelita yang tersimpan menunggu malam tujuh likur baru dinyalakan. Selain kebolehan untuk menyampaikan ilmu, memiliki pengetahuan yang luas dan bijak, kita perlu berkebolehan untuk bersosialisasi dengan baik bersama masyarakat. Untuk merealisasikan tujuan dan amanah yang maha berat ini (mewarisi tugas dakwah para Rasul), tidak ada cara dan jalan yang lebih sempurna melainkan dengan menggabungkan diri dalam jamaah (organisasi). Keutamaan berjamaah ini pernah ditekankan oleh Dr. Yusuf al Qardhawi dalam usaha memenuhi kerangka dakwah secara menyeluruh.

Dalam pada yang sama, kita tidak dapat menafikan bahawa kecemerlangan akademik merupakan kayu ukur penilaian masyarakat terhadap seseorang dan ia juga merupakan wasilah untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Bahkan dalam sesetengah keadaan, dakwah kita mungkin dipertikaikan tanpa memiliki pencapaian akademik yang meyakinkan. Justeru, amanah menuntut ilmu ini perlu dilunaskan sebaik mungkin. Walau bagaimanapun ia bukanlah pengukur yang tepat kepada nilai seorang manusia bermula dari janin bayi, sehingga ke liang lahad. Rasulullah salallahualaihi wasalam bersabda ;

خير الناس انفعهم للناس

[ Sebaik-baik manusia adalah mereka yang member manfaat kepada manusia ] Lihat hadith no:6662 di dalam Shohih al Jami’e.

Allah Taala pula berfirman:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ * الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَائِزُونَ

“Adakah kalian menyamatarakan (nilai kebaikan) antara orang yang memberi minum orang-orang berhaji serta memakrnurkan Masjid al Haram dengan orang-orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dan mereka berjihad di jalan Allah? Tidak sama (sesungguhnya nilai antara keduanya) di sisi Allah. Allah tidak memberi petunjuk terhadap kaurn yang zalirn. Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka di sisi Allah lebih tinggi darjat mereka dari orang lain. Mereka itulah orang-orang yang Berjaya” - (Surah at-Taubah: ayat 19 - 20)

Kerana itu kita tidak harus alpa bahawa kecemerlangan akademik perlu seiring dengan kecemerlangan syakhsiah kerana kecemerlangan akademik hanyalah wasilah, sedangkan keredhaan Allah Taala itulah matlamat utama. Kata Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu :

ليس العلم بكثرة الحديث، ولكن العلم بالخشية

[ Ilmu bukanlah dengan banyak cakap, tetapi ilmu itu membawa takut (kepada Allah)].

Kata Imam al Qurtubi rahimahullah pula;

إنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء - يعني بالعلماء يخافون قدرته، فمن علم أنه عز وجل قدير أيقن بمعاقبته على المعصية

[ ((Sesungguhnya yang takutkan Allah itu di kalangan hamba-Nya ialah para Ulama’)) - surah al Fatir: 28, Yang dimaksudkan ulama di sini ialah mereka yang takutkan kekuasaan Allah. Oleh sebab itu, siapa yang mengetahui bahawa Allah itu Maha Berkuasa, dia juga akan meyakini bahawa Allah berupaya untuk menimpakan balasan seksa kepada pelaku-pelaku maksiat ].

Bukan sukar untuk melahirkan pakar-pakar atau orang-orang yang berilmu, tetapi yang susah itu untuk kita melihat para ilmuan yang memiliki sifat amanah dengan ilmu kerana takutkan Allah. Lihat sahaja berapa banyak institusi ilmu telah dibangunkan? Berapa ramai graduan - di seluruh dunia - yang telah menerima ijazah mereka? Namun dunia masih dicemari kebiadaban dan kebuasan. Siapa yang melakukan perkara ini? Orang lekehkah? Orang buta hurufkah? Adakah dilakukan oleh pengamal-pengamal rasuah yang tidak bersekolah? Atau perompak-perompak yang tidak tahu membaca surat khabar? Fikirkan.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ

“Adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan? Hanya orang yang menerima peringatan ialah orang yang berakal.” Surah az-Zumar : ayat 9 - Qutuz'slegacy

Sumber : PMRAM

Bersangka Baik Dengan Allah S.W.T.

| Thursday, March 4, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

DALAM hidup ini Allah sentiasa menguji kita. Ujian Allah pelbagai dan orang yang diuji Allah juga pelbagai. Ada yang diuji Allah dengan musibah seperti kematian orang disayangi, kebakaran, kemalangan, kehilangan, bencana alam dan yang selalu diuji Allah kepada kita ialah dengan mendatangkan sakit.
Tidak seorang pun daripada kita yang hidup di dunia ini terlepas daripada menerima ujian Allah. Yang membezakannya hanya bentuk ujian itu. Ada yang ringan dan ada yang berat ujiannya.

Walau apa saja yang kita alami di dunia ini, ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Quran banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.

Al-Quran dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” Melihat dua firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya.

Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.

Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah terutama ketika kita ditimpa musibah sakit atau musibah lain. Ujian sakit yang diberikan-Nya itu tanda kasih sayang-Nya dari Khalik kepada makhluk-Nya. Allah selalu mencintai hamba-Nya yang sabar, ikhlas dan reda. Dan sebagai hamba-Nya yang beriman, kita hendaklah selalu memuji Allah yang tak pernah putus-putus memberi rahmat kepada kita hatta ketika kita sakit.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi) Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.” Syuraih rahimahullah berkata: “Aku benar-benar ditimpa musibah. Namun aku memuji kerana empat perkara. Aku memuji kerana musibah itu, bukan yang paling kuat, kerana kau dianugerahkan kesabaran menghadapinya. Kerana aku diberi taufik untuk mengucapkan ‘Ina lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sehingga aku boleh memohon pahala, dan kerana musibah itu tidak dijadikan pada agamaku.”

Sementara Al Ghazali rahimahullah pula berkata: “Setiap musibah dan penyakit harus digambarkan ada yang lebih besar lagi. Sebab ketetapan Allah tidak boleh dicegah. Sekiranya Allah melipat ganda dan menambahkannya apakah yang boleh menolaknya? Walaupun demikian, dia tetap harus bersyukur kerana hal ini bukan yang paling besar di dunia. Jadi, tidak seorang pun ditimpa musibah, melainkan dia harus melihat hal Allah yang boleh menimpakan musibah yang lebih besar lagi di dunia pun di akhirat.” Sebenarnya ada hikmah bagi orang mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Dan darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.

Sesungguhnya solat adalah jalan terbaik mendekatkan diri kita dengan Allah, di mana hanya Dia saja tempat untuk kita mohon pertolongan bila ditimpa musibah. Hanya Allah saja yang boleh membantu dan memberikan pertolongan kepada kita.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solatlah di atas tanah selama kamu mampu. Jika tidak, cukup kamu memberi isyarat dengan menggerakkan badan dan lakukanlah sujudmu lebih rendah daripada rukukmu.” (Hadis riwayat Thabrani dan disahihkan oleh Al-Albani).

Sementara Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (Surah At-Taqhaabun ayat 16) Sama ada berat atau ringan sakit yang kita alami, semuanya cubaan dan ujian Allah kepada kita. Tapi kita tidak perlu bersangka buruk terhadap Allah kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit itu tanpa ubatnya. Ertinya setiap penyakit yang ada di dunia ini ada ubatnya disediakan oleh Allah. Hanya mati saja tidak ada ubatnya.

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” (Hadis riwayat Al Bukhari) Selain ubat, doa juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdoa bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”

( Harian Metro )