" Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya, dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat."

Ibadat

| Sunday, April 4, 2010

Ibadah terbahagi kepada tiga iaitu ibadah asas (fardu ain), ibadah fardu kifayah dan ibadah umum.

  1. Ibadah Asas.
  2. Ibadah asas ialah ibadat yang merupakan fardu ain yang merangkumi soal-soal aqidah sperti dalam rukun iman yang enam. Ia juga merupakan amalan wajib yang perlu ditunaikan oleh setiap orang muslim seperti yang terkandung dalam rukun Islam. Ini bererti bahawa sebelum kita melaksanakan ibadat yang lain, kedua-dua ibadat yang asas ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

  3. Ibadah Fardu Kifayah.
  4. Bidang ibadat ini menitikberatkan kepada amalan-amalan sosial dalam masyarakat Islam yang merupakan nadi atau urat saraf yang menghubungkan antara antara satu sama lain. Ia meliputi menyelenggarakan mayat untuk dikuburkan, menegakkan jihad dalam semua bidang, menegakkan sekolah dan institusi pengajian tinggi (dalam semua bidang yang diperlukan), mewujudkan ekonomi Islam, mewujudkan pentadbiran Islam dan melaksanakan kebajikan am.

  5. Ibadah Umum.
  6. Ibadah umum ialah segala kegiatan manusia yang tunduk kepada hukum-hukum dan nilai-nilai agama Islam. Segala aktiviti dan amalan manusia dan tugas-tugasnya sehari-hari tergolong dalam istilah ibadah jika ia dilaksana dengan ikhlas dan jujur.

Sumber : Islam GRID.

Ilmu Itu Cahaya ( Peringatan Buat Diri )

| Friday, March 26, 2010
Al Quran diturunkan kepada manusia agar mereka berfikir akan maksud yang disampaikan, menghayati segala perintah al Quran yang begitu menggegarkan jiwa. Begitu jelas firman Allah yang pertama diturunkan kepada Rasulullah salallahualaihi wasalam berbunyi ; “Iqraa’”, bermaksud; Bacalah. Lalu, bagaimana kita menjadi umat yang diturunkan padanya satu surah yang memerintah untuk ‘membaca’, tetapi kita malas membaca, atau malas menggunakan kaedah-kaedah lain untuk meningkatkan pengetahuan? Menurut Dr. Raghib as Sarjani, membaca itu bukan hobi semata-mata tetapi merupakan kewajipan setiap manusia. Kerana itu, tidak wajar seorang manusia berkata; “Saya tidak minat membaca” atau “Hobi saya membaca”. Bukankah perutusan Jibril alaihissalam yang pertama kepada Muhammad salallahualaihi wasalam berbunyi Iqra’? Peristiwa ini memberikan sejumlah ibrah kepada umat Islam supaya menjadi umat yang ‘membaca’, dalam erti kata lain meningkatkan pengetahuan kerana Jibril tidak akan membacakan sesuatu ‘kitab’ untuk kita.

Untuk membuktikan kepentingan membaca itu, Rasulullah salallahualaihi wasalam sendiri pernah mengarahkan tawanan-tawanan musyrikin di perang Badar mengajarkan umat Islam ‘membaca’. Hal ini menunjukkan kaedah-kaedah mencapai ilmu, sangat ditekankan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam. Lafaz perintah yang ada pada kalimah - ( Iqra’ ) itu mengkehendaki kepada umatnya agar bersikap konsisten dalam sesuatu perkara yang tidak dianggap remeh. Topik ‘membaca’ atau ‘menuntut ilmu’ bukanlah perkara yang besar bagi penuntut-penuntut di al Azhar kerana masing-masing faham dan tahu keutamaan ilmu kepada manusia, malah mampu mengumpulkan seberapa banyak dalil mengenai kelebihannya. Tetapi, yang menjadi isu besarnya ialah ‘usaha’ dan kesungguhan.

Perhatikan ayat ini yang menggambarkan maha teliti Allah dalam menghasilkan karya cipta-Nya ;

تَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ

“Dan engkau melihat gunung-ganang lalu menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; demikianlah perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan begitu teliti (rapi). Sesungguhnya Dia (Allah)amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan” – an Naml:88, al Quranul Karim.

Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Bazzar di dalam musnadnya, Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam bersabda;

إن الله يحب أحدكم إذا عمل عملا ان يتقنه

[ Sesungguhnya Allah menyukai seseorang yang apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan, dilaksanakannya dengan tekun ]

Dalam satu peristiwa perang Uhud, Rasulullah salallahualaihi wasalam turut mengajarkan kepada tentera-tentera Islam yang ditugaskan untuk memanah tentera musyrikin agar bersungguh-sungguh (tekun) menuruti strategi Baginda. Perintah Baginda salallahualaihi wasalam kepada mereka ;

لا تتركوا أماكنكم ولو رأيتم الطيور تتخطف

[ Jangan kamu tinggalkan tempat kamu sekalipun kamu telah melihat burung-burung datang menyambar kami ]


Ilmu pengetahuan yang mantap, mustahil dimiliki dengan jampi serapah, summon, tangkal atau apa jua perkara khurafat yang bertujuan untuk mencapai sesuatu dengan jalan mudah. Tetapi ia merupakan anugerah Allah Taala yang diperolehi dengan usaha dan ketekunan, tidak kira sama ada anda menadah kitab di hadapan masyaheikh ataupun memuat-turun sesi kuliah mereka di sesawang dunia tanpa sempadan (internet). Imam Syafie rahimahuLlah dalam syairnya telah menggariskan syarat-syarat untuk menuntut ilmu sebagai berikut:

أخي لن تنال العلم الا بسته ؛ ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة وصحبة استاذ وطول زمان

[ Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ; cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi ustaz (ilmuan) dan masa yang panjang ]

Peluang untuk meningkatkan prestasi bermaklumat dan mencipta budaya akademik dengan menghadiri kuliah-kuliah pengajian, begitu terbentang luas di bumi al Azhar. Tokoh al Quran, Luqman al Hakim pernah berpesan kepada anaknya;

يا بني جالس العلماء وزاحمهم بركبتيك، فإن القلوب تحيا بالعلم كما تحيا الأرض الميتة بوابل المطر

[ Wahai anakanda, hadirlah ke majlis-majlis para ulama’ dan lazimilah duduk bersama mereka (mendengar pengajian) kerana sesungguhnya hati sanubari itu akan hidup dan sihat dengan ilmu pengetahuan seperti suburnya tanah yang disirami air hujan ] Dr. Yusuf al Qardhawi: 55, al Fatwaa bayna Indibadh wa at Tasayyub. Maktabah al Islami, Beirut, cetakan kedua 1995.

Pergi ke kuliah, hadir ke kelas bimbingan ,membuat ulangkaji, menjauhi maksiat, disiplin diri yang ketat serta menyampaikan pengetahuan tersebut kepada orang lain adalah antara agenda yang mesti ditunaikan sebagai penuntut ilmu. Kesemua itu adalah amanah yang kita maklumi sebagai mahasiswa Muslim yang beriman dengan Allah Taala. Rela atau tidak, seluruh masyarakat Malaysia menganggap kita sebagai ulama’, mufti, ustaz atau tempat rujukan pada perkara-perkara agama. Perhatikan hadith ini ;

العلماء أمناء الله فى خلقه

[ Para ulama adalah orang-orang kepercayaan Allah di kalangan makhluk-Nya ] – al Qurthubi dan Ibn ‘Asakir daripada Anas di sahihkan Imam as Suyuti (al-Fath al-Kabir,2:251), kitab kuliah al Azhar.

Jika tumpuan kita di bumi al Azhar lebih banyak leka daripada tekunnya, lebih banyak lena dari celiknya, kitalah bahan ‘fitnah’ ke atas institusi al Azhar. Hal ini disentuh oleh Ustaz Hairul Nizam b. Mat Hussain, mantan Presiden PMRAM sebagai punca kepincangan yang berlaku pada mentaliti mahasiswa Al Azhar hari ini ;

a) Tidak menjiwai konsep ulama’ pewaris Nabi.
b) Belajar semata-mata untuk menduduki dewan peperiksaan.
c) Tidak mempunyai misi untuk memperbaiki kefahaman masyarakat terhadap Islam.
d) Tidak bersungguh menguasai ilmu.

Kita terpaksa menyedari bahawa Universiti al Azhar terpaksa menyediakan satu sistem pengajian yang tidak mampu memberikan kesemua kepakaran ilmu di ruang-ruang sesi perkuliahan. Ini kerana, hakikat ilmu Islam begitu luas dan tidak akan mampu diterokai sehabis-habisnya sekalipun dengan masa yang lama. Allah Taala berfirman ;

قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika lautan itu tinta untuk tulisan kalimah Tuhanku, nescaya keringlah lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku ditulis, walaupun dibekalkan lagi seumpamanya.” - (al-Kahf: 109).

Rumusan mengenai ayat di atas menunjukkan betapa maha luasnya ilmu Allah Taala. Walaupun begitu, Allah Taala tidak memerintahkan kepada hamba-Nya untuk bersikap malas meningkatkan ilmu. Inilah apa yang dikesalkan, dalam keadaan kita menyedari hakikat betapa susahnya bagi seorang Azhari menguasai kesemua ilmu-ilmu Islam. Tiba-tiba kita mudah bertemu dengan kelompok yang begitu banyak istirehat, sangat berlebihan di atas tilam, bersangatan di hadapan komputer dengan perkara-perkara yang membuang masa dan menjadikan agenda penguasaan ilmu sebagai agenda “jarang-jarang”. Sedari tanggungjawab pemegang ilmu Islam di hadapan Allah, adalah sebagai kubu pertahanan agama-Nya. Hal ini sepatutnya menimbulkan rasa takut yang terbit dari hati dan seterusnya mengawal diri dari bersikap cuai dan cemar.

Berusaha & Berdoa & Bertawakkal Untuk Berjaya

Kita sebenarnya sangat beruntung kerana berpeluang berada di sebuah institusi yang begitu tersohor menghasilkan para murabbi, para mujaddid, para mufakkir, sasterawan Islam prolifik dan sejumlah besar cendikiawan yang mahir di setiap disiplin ilmu dengan semangat yang berkobar-kobar memperjuangkan agama Islam. Walaupun dalam usaha untuk mencapai level seumpama ‘mereka’ kita bakal menghadapi 1001 macam kesukaran, namun untuk mara meneruskan survival ilmu di al Azhar tidak pernah berhenti. Kerana di dalam Islam, tidak ada pepatah Melayu seperti ;

“..Untung sabut timbul, untung batu tenggelam..”

“..Malang tak boleh ditolak, mujur tak boleh diraih..”

“..Belajar tinggi-tinggi, akhirnya kupas bawang juga..”

“..Ulat dalam batupun boleh cari rezeki..”, dan yang seumpama lafaznya untuk kita bersedia dengan sikap statik pada tahap kemampuan yang ada. Hakikatnya, kita diwajibkan menggunakan seluruh pancaindera dan berusaha menggunakan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada kita, tanpa kita lupa untuk berdoa, memohon dan berserah kepada-Nya . Allah Taala berfirman ;

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” – ar Ra’du:11, al Quranul Karim.

Mengerahkan Ilmu Untuk Amal Ijtima’ie

Secara sainsnya, pelita tidak akan bercahaya jika tidak dibakar. Cahaya pelita pula akan malap dan padam jika ia dibakar ditempat bilik terkunci tanpa udara. Demikian juga hakikatnya ilmu, ilmu itu diiktiraf sebagai cahaya apabila ia memberi manfaat kepada orang lain. Tetapi, ilmu itu akan malap jika fungsinya digerakkan hanya pada ruang lingkupnya sahaja. Ada hadith berbunyi ;

العلماء مصابيح الارض وخلفاء الانبياء وورثتي وورثة الانبياء

[ Para ulama adalah pelita-pelita bagi bumi, khalifah(pengganti) para nabi, pewarisku dan pewaris para Nabi ].

“Cahaya, pelita-pelita di bumi”, bukannya cahaya pelita-pelita di dalam rumah atau pelita-pelita yang tersimpan menunggu malam tujuh likur baru dinyalakan. Selain kebolehan untuk menyampaikan ilmu, memiliki pengetahuan yang luas dan bijak, kita perlu berkebolehan untuk bersosialisasi dengan baik bersama masyarakat. Untuk merealisasikan tujuan dan amanah yang maha berat ini (mewarisi tugas dakwah para Rasul), tidak ada cara dan jalan yang lebih sempurna melainkan dengan menggabungkan diri dalam jamaah (organisasi). Keutamaan berjamaah ini pernah ditekankan oleh Dr. Yusuf al Qardhawi dalam usaha memenuhi kerangka dakwah secara menyeluruh.

Dalam pada yang sama, kita tidak dapat menafikan bahawa kecemerlangan akademik merupakan kayu ukur penilaian masyarakat terhadap seseorang dan ia juga merupakan wasilah untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Bahkan dalam sesetengah keadaan, dakwah kita mungkin dipertikaikan tanpa memiliki pencapaian akademik yang meyakinkan. Justeru, amanah menuntut ilmu ini perlu dilunaskan sebaik mungkin. Walau bagaimanapun ia bukanlah pengukur yang tepat kepada nilai seorang manusia bermula dari janin bayi, sehingga ke liang lahad. Rasulullah salallahualaihi wasalam bersabda ;

خير الناس انفعهم للناس

[ Sebaik-baik manusia adalah mereka yang member manfaat kepada manusia ] Lihat hadith no:6662 di dalam Shohih al Jami’e.

Allah Taala pula berfirman:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ * الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَائِزُونَ

“Adakah kalian menyamatarakan (nilai kebaikan) antara orang yang memberi minum orang-orang berhaji serta memakrnurkan Masjid al Haram dengan orang-orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dan mereka berjihad di jalan Allah? Tidak sama (sesungguhnya nilai antara keduanya) di sisi Allah. Allah tidak memberi petunjuk terhadap kaurn yang zalirn. Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka di sisi Allah lebih tinggi darjat mereka dari orang lain. Mereka itulah orang-orang yang Berjaya” - (Surah at-Taubah: ayat 19 - 20)

Kerana itu kita tidak harus alpa bahawa kecemerlangan akademik perlu seiring dengan kecemerlangan syakhsiah kerana kecemerlangan akademik hanyalah wasilah, sedangkan keredhaan Allah Taala itulah matlamat utama. Kata Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu :

ليس العلم بكثرة الحديث، ولكن العلم بالخشية

[ Ilmu bukanlah dengan banyak cakap, tetapi ilmu itu membawa takut (kepada Allah)].

Kata Imam al Qurtubi rahimahullah pula;

إنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء - يعني بالعلماء يخافون قدرته، فمن علم أنه عز وجل قدير أيقن بمعاقبته على المعصية

[ ((Sesungguhnya yang takutkan Allah itu di kalangan hamba-Nya ialah para Ulama’)) - surah al Fatir: 28, Yang dimaksudkan ulama di sini ialah mereka yang takutkan kekuasaan Allah. Oleh sebab itu, siapa yang mengetahui bahawa Allah itu Maha Berkuasa, dia juga akan meyakini bahawa Allah berupaya untuk menimpakan balasan seksa kepada pelaku-pelaku maksiat ].

Bukan sukar untuk melahirkan pakar-pakar atau orang-orang yang berilmu, tetapi yang susah itu untuk kita melihat para ilmuan yang memiliki sifat amanah dengan ilmu kerana takutkan Allah. Lihat sahaja berapa banyak institusi ilmu telah dibangunkan? Berapa ramai graduan - di seluruh dunia - yang telah menerima ijazah mereka? Namun dunia masih dicemari kebiadaban dan kebuasan. Siapa yang melakukan perkara ini? Orang lekehkah? Orang buta hurufkah? Adakah dilakukan oleh pengamal-pengamal rasuah yang tidak bersekolah? Atau perompak-perompak yang tidak tahu membaca surat khabar? Fikirkan.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ

“Adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan? Hanya orang yang menerima peringatan ialah orang yang berakal.” Surah az-Zumar : ayat 9 - Qutuz'slegacy

Sumber : PMRAM

Bersangka Baik Dengan Allah S.W.T.

| Thursday, March 4, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

DALAM hidup ini Allah sentiasa menguji kita. Ujian Allah pelbagai dan orang yang diuji Allah juga pelbagai. Ada yang diuji Allah dengan musibah seperti kematian orang disayangi, kebakaran, kemalangan, kehilangan, bencana alam dan yang selalu diuji Allah kepada kita ialah dengan mendatangkan sakit.
Tidak seorang pun daripada kita yang hidup di dunia ini terlepas daripada menerima ujian Allah. Yang membezakannya hanya bentuk ujian itu. Ada yang ringan dan ada yang berat ujiannya.

Walau apa saja yang kita alami di dunia ini, ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Quran banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.

Al-Quran dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” Melihat dua firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya.

Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.

Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah terutama ketika kita ditimpa musibah sakit atau musibah lain. Ujian sakit yang diberikan-Nya itu tanda kasih sayang-Nya dari Khalik kepada makhluk-Nya. Allah selalu mencintai hamba-Nya yang sabar, ikhlas dan reda. Dan sebagai hamba-Nya yang beriman, kita hendaklah selalu memuji Allah yang tak pernah putus-putus memberi rahmat kepada kita hatta ketika kita sakit.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi) Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.” Syuraih rahimahullah berkata: “Aku benar-benar ditimpa musibah. Namun aku memuji kerana empat perkara. Aku memuji kerana musibah itu, bukan yang paling kuat, kerana kau dianugerahkan kesabaran menghadapinya. Kerana aku diberi taufik untuk mengucapkan ‘Ina lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sehingga aku boleh memohon pahala, dan kerana musibah itu tidak dijadikan pada agamaku.”

Sementara Al Ghazali rahimahullah pula berkata: “Setiap musibah dan penyakit harus digambarkan ada yang lebih besar lagi. Sebab ketetapan Allah tidak boleh dicegah. Sekiranya Allah melipat ganda dan menambahkannya apakah yang boleh menolaknya? Walaupun demikian, dia tetap harus bersyukur kerana hal ini bukan yang paling besar di dunia. Jadi, tidak seorang pun ditimpa musibah, melainkan dia harus melihat hal Allah yang boleh menimpakan musibah yang lebih besar lagi di dunia pun di akhirat.” Sebenarnya ada hikmah bagi orang mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Dan darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.

Sesungguhnya solat adalah jalan terbaik mendekatkan diri kita dengan Allah, di mana hanya Dia saja tempat untuk kita mohon pertolongan bila ditimpa musibah. Hanya Allah saja yang boleh membantu dan memberikan pertolongan kepada kita.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solatlah di atas tanah selama kamu mampu. Jika tidak, cukup kamu memberi isyarat dengan menggerakkan badan dan lakukanlah sujudmu lebih rendah daripada rukukmu.” (Hadis riwayat Thabrani dan disahihkan oleh Al-Albani).

Sementara Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (Surah At-Taqhaabun ayat 16) Sama ada berat atau ringan sakit yang kita alami, semuanya cubaan dan ujian Allah kepada kita. Tapi kita tidak perlu bersangka buruk terhadap Allah kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit itu tanpa ubatnya. Ertinya setiap penyakit yang ada di dunia ini ada ubatnya disediakan oleh Allah. Hanya mati saja tidak ada ubatnya.

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” (Hadis riwayat Al Bukhari) Selain ubat, doa juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdoa bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”

( Harian Metro )

The Chosen One

| Sunday, February 28, 2010


By : Maher Zain

In a time of darkness and greed
It is your light that we need
You came to teach us how to live
محمد يا رسول الله

You were so caring and kind
your soul was full of light
You are the best of mankind
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى

Peace be upon The Messenger
The Chosen One

From luxury you turned away
And all night you would pray
Truthful in every word you say
محمد يا رسول الله

Your face was brighter than the sun
Your beauty equaled by none
You are Allah Chosen One
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى

Peace be upon The Messenger
The Chosen One

I'll try to follow your way
And do my best to live my life
as you taught me
I pray to be close to you
On that day and see you smile
When you see me

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى

Peace be upon The Messenger
The Chosen One

صلّوا على رسول الله
Oh
Peace be upon.. Oh
The Chosen One

Rasullullah S.A.W. ikutan sepanjang zaman.

| Saturday, February 20, 2010
Assalamualaikum w.b.t

Selawat dan salam ke atas junjungan Rasullullah s.a.w pembawa kebenaran seisi alam.Pemberi syafaat buat seluruh insan.

Rasullullah membawa maksud Pesuruh Allah diutuskan sebagai penyampai segala risalah Allah kepada hamba-hamba-Nya agar kenali dan taati peintah Allah.Mengamalkan cara hidup berlandaskan syariat dengan mendalami ilmu-ilmu Agama.

Rasullullah s.a.w. adalah sebaik-baik ikutan dan teladan.Cermin segala cermin kehidupan.Penyuluh sekian alam dari jahiliah dan kesesatan kepada cahaya keimanan dan kebenaran.

Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling agung. Keperibadian Baginda yang luhur,amanah serta bijaksana diakui oleh kawan dan lawan. Allah menyatakan perkara ini di dalam al-Quran surah Al-A'raf ayat 68 yang bermaksud: " Tugasku menyampaikan kepada kamu akan perintah - perintah yang diutuskan oleh Tuhanku dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah bagi kamu."

Berdasarkan kriteria-kriteria inilah segala apa yang disampaikan oleh Baginda diterimapakai oleh sebahagian besar penduduk dunia sejak dahulu hingga sekarang.Ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda meliputi permasalahan yang bersifat rohaniah dan lahiriah agar kesempurnaan hidup itu mencakupi luaran dan dalaman.

Manusia pula wajib beriman dan yakin terhadap apa jua yang dibawa oleh Baginda. Bukti keimanan ialah melakukan segala perintah Allah dan rasul serta meninggalkan segala larangan.

Tidak ada seorang pun yang boleh berdolak dalik dalam perkara ini kerana Allah dengan sifat ilmu-Nya maha mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia mahupun yang dilakukan di tempat yang terbuka dan tersembunyi. Allah juga yang akan membalas segala amalan manusia sama ada baik ataupun buruk.

- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

RASULULLAH S.A.W.

Baginda...Rasulullah S.A.W., penyelamat manusia dunia akhirat,
Nabi Muhammad SAW orang luar biasa yang tidak ada taranya,
Sebelum dan sesudahnya di kalangan manusia,
Sekalipun dikalangan para rasul dan para nabi yang telah diberita,
Baginda adalah rohnya malaikat dan tubuhnya manusia,
Orang paling cerdik dan paling bersih rohnya,
Di kalangan manusia sebelum dan sesudahnya,
Maka di beri jolokan oleh Allah,fathonah,
Bahkan yang paling Fathonah (Bijaksana) dikalangan rasul-Nya,
Ilmunya bukan didapati dari akalnya,
Walaupun seorang yang paling tajam akalnya,
Mendapat ilmu dijatuhkan Tuhan di dalam hatinya,
Wahyu namanya,belajar langsung dari Tuhannya,
Kerana inilah baginda tidak perlu menulis
Dan membaca seperti manusia biasa,
Kerana itulah ilmunya tidak dilupa sepanjang masa,
Kalau dari akal mungkin dilupakannya,
Ilmunya menceritakan dunia dan akhirat,

Tawakkal dan beraninya luar biasa
Pemaaf dan kasih sayangnya ketara
Pemurahnya tidak ada taranya
Gembiranya tidak ketawa, marahnya pula disembunyikannya,
Sabarnya luar biasa
Takut dengan Tuhan ketara di mukanya
Dan berbagai-bagai lagi sifat dan wataknya
Yang sangat global tentang nabi kita,
Terhasil dari ilmu wahyu yang jatuh ke hatinya


Mukjizat banyak berlaku ditangannya,
Yang lahir dan yang batin,
Yang besar ialah Al Quran dan Al Hadith,
Yang kekal sampai ke akhir zaman,
Untuk pengajaran dan panduan kepada manusia,
Demi keselamatan manusia dunia dan akhiratnya,

Namun bukankah kita sudah berada di jarak 1500 tahun dari Baginda,
Betapa sukarnya untuk kita menjadikannya contoh teladan dan ikutan
Maka dengan kasih sayang Tuhannya
Telah dijanjikan pewaris-pewarisnya
dari zaman ke zaman di kirimkan kepada umat manusia,
iaitu di setiap awal kurun, ada pemimpin pilihan Tuhan,
Mujaddid gelarannya,
peribadinya itu dapat menggambarkan bayangan nabi kita,
Dia itu boleh menjadi ikutan manusia,
dia adalah pemimpin yang Tuhan memberkatinya,
Kerana dia pemimpin yang Tuhan janjikan buat manusia.

Sumber.

Al-Quran Ilmu Panduan Hidup Dunia dan Akhirat.

| Monday, February 8, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

Al-Quran Al-Karim merupakan kalamullah ( Firman Allah s.w.t.) mukjizat teragung yang diturunkan melalui Malaikat Jibril a.s. yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu kepada Rasul Junjungan,Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Quran sebagai salah satu panduan dan petunjuk Allah s.w.t untuk hamba-hamba-Nya mengenali Sang Pencinta,Allah Azza wa jalla. agar mendapat kebenaran dan kebahagian hidup yang sebenar di alam dunia ini.Hakikat apa yang ada di alam dunia ini dan seterusnya dapat mengenali alam akhirat,tempat yang abadi.



"Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran." ( Ali-Imran ayat 7 )

Menimba Ilmu membawa anda kepada kenali Al-Quran.Kita ketahui Al-quran mengandungi 30 Juzu' dan setiap Juzu' mempunyai 8 maqra' ( tempat permulaan pembacaan ).Terkandung di dalamnya sebanyak 114 surah di mulai dengan surah Al-Fatihah merupakan surah pembukaan menjadi intipati Al-Quran secara keseluruhannya dan di akhiri dengan surah An-Nas bermaksud Manusia menjadi ingatan buat makhluk-Nya agar berlindung dan berserah diri kepada-Nya.

Jom kita hafali nama-nama surah Al-quran :-



Surah: Bilangan Ayat: Jumlah Ayat:

1-5 ( 7 + 286 + 200 + 176 + 120 ) = 789 ayat

6-10 ( 165 + 206 + 75 + 129 + 109 ) = 684

11-15 ( 123 + 111 + 43 + 52 + 99 ) = 428

16-20 ( 128 + 111 + 110 + 98 + 135 ) = 582

21-25 ( 112 + 78 + 118 + 64 + 77 ) = 449

26-30 ( 227 + 93 + 88 + 69 + 60 ) = 537

31-35 ( 34 + 30 + 73 + 54 + 45 ) = 236

36-40 ( 83 + 182 + 88 + 75 + 85 ) = 513

41-45 ( 54 + 53 + 89 + 59 + 37 ) = 292

46-50 ( 35 + 38 + 29 + 18 + 45 ) = 165

51-55 ( 60 + 49 + 62 + 55 + 78 ) = 304

56-60 ( 96 + 29 + 22 + 24 + 13 ) = 184

61-65 ( 14 + 11 + 11 + 18 + 12 ) = 66

66-70 ( 12 + 30 + 52 + 52 + 44 ) = 190

71-75 ( 28 + 28 + 20 + 56 + 40 ) = 172

76-80 ( 31 + 50 + 40 + 46 + 42 ) = 209

81-85 ( 29 + 19 + 36 + 25 + 22 ) = 131

86-90 ( 17 + 19 + 26 + 30 + 20 ) = 112

91-95 ( 15 + 21 + 11 + 8 + 8 ) = 63

96-100 ( 19 + 5 + 8 + 8 + 11 ) = 51

101-105 ( 11 + 8 + 3 + 9 + 5 ) = 36

106-110 ( 4 + 7 + 3 + 6 + 3 ) = 23

111-114 ( 5 + 4 + 5 + 6 ) = 20

-----------------------------------------------------------
Jumlah besar = 6,236 ayat

Sumber : klik www.e-bacaan.com.dan kupasaan lanjut di ahliquran.

Setiap insan perlukan panduan dan petunjuk.Agama adalah sebaik-baik penghidupan jiwa rohani.Agama terbaik dari agama-agama yang ada di alam dunia ini adalah agama ISLAM.Sebenar-benar pegangan untuk agama ISLAM adalah Akidah Ahli Sunnah Wal-Jama'ah.Boleh lihat kupasan tentang Ahli Sunnah Wal-Jamaah di blog Ad-dai'.

( Ilmu tambahan : Kaedah untuk mencari muka surat ke berapa untuk juzu' yang kita hendak baca dalam Quran Rasm Othmani..Contoh hendak baca juz 6..Kaedahnya : 6-1 =5,5x2=10..sebelah 0 letak 2..maka,jadi 102..buka kitab Al-quran Rasm Othmani muka surat :102..akan dapati dalam muka surat tersebut adalah di mulai juz 5 ).Cuba buat kaedah yang diberi..juz brp - 1 = jum x 2 = jum letak 2 ).

Sabda Nabi s.a.w. : العلم امام العمل والعمل تابعه

Maksudnya : Ilmu adalah ketua bagi amalan dan amalan itu mengikut ilmu yang diperolehinya.

'Kepada Allah s.w.t. sebaik-baik penyerahan'.

Pesanan buat Ilmuan

| Monday, February 1, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

Ilmu suatu teras jalan kehidupan.Tetapi marilah kita fikir sejenak adakah ilmu itu mampu memberi sinar dalam hidup kita.Sudah tentu dalam kehidupan kita inginkan kebaikan dan keberkatan dari ilmu yang diperolehi...Pesanan buat ilmuan..

Berkat maknanya ialah subur, dengan kebaikan, permohonannya diterima dan kebahagiaan. Jadi, keberkatan membawa ke syurga sebaliknya, tanpa berkat kita dibawa ke neraka.

Keberkatan ilmu..

1.Niat kerana Allah s.w.t.

2.Sentiasa doakan ibu bapa,guru-guru,rakan-rakan dan diri sendiri.

3.Berterima kasih kepada guru-guru yang mengajar kita dan minta dihalalkan ilmu yang diberikan.

4.Jaga ibadat setiap masa samada hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

5.Bersihkan hati dengan melakukan amalan-amalan mulia.

6.Tawakkal kepada Allah s.w.t semasa berusaha dan selepas berusaha.

Ketahuilah olehmu orang yang suka menuntut ilmu..

Sesungguhnya apabila tujuan engkau dalam menuntut ilmu untuk bersenang-senangan dan bermegah-megahan dan untuk mendahului kawan-kawan sesamamu, serta untuk mengarah muka manusia supaya merasa segan kepadamu, maka perjalanan engkau yang demikian adalah untuk meruntuhkan agama engkau, serta menjual akhiratmu dengan duniamu, maka perniagaan dan perdagangan engkau akan kerugian.

Begitu juga orang yang mengajar serta menolong engkau dalam membuat maksiat, tak ubah seperti penjual pedang kepada seorang perompak di tengah jalan, sebagaimana nabi bersabda: “Barangsiapa menolong orang membuat maksiat maka dia itu sekutu dengannya. Dan jikalau niat & tujuan engkau dalam menuntut ilmu untuk memperolehi hidayat daripada Allah S.W.T bukan semata-mata mencari riwayat, maka bergembiralah engkau, kerana bahasanya para malaikat membentangkan sayapnya untuk engkau, dan ikan-ikan di lautan meminta ampunan kepada Allah untuk engkau apabila engkau berjalan dengan keredhaan Allah.

( Imam al-Ghazali )

" Ya Allah,jadikanlah ilmuku boleh memimpin diri dan orang lain,
Boleh menyuluh hatiku dan menyuluh hati orang lain,
Seterusnya jadikanlah ilmu itu sentiasa memberi manfaat dan syafaat "

Amin Ya Rabbal Alamin..

Selami Surah Al-Fatihah

| Sunday, January 31, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah s.w.t. pembuka segala kenikmatan dan kerahmatan ke atas hamba-hambanya dimana nikmat yang Allah s.w.t.kurniakan menuntut kita agar membuka diri ke jalan-jalan yang di redhaiNya.Justeru itu,amat sesuai agar kita dapat mendalami dan menghayati surah Al-Fatihah dimana menjadi kewajipan dibacakan ketika solat.



Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).

(Hadits riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Al-Fatihah bererti Pembukaan ataupun Pendahuluan.Bermaksud pembukaan surah bagi Mushaf Al-Quran,dibacakan ketika permulaan membaca surah-surah Al-Quran dan dibacakan ketika permulaan rakaat setiap solat bahkan menjadi intipati bagi ke seluruhan isi Al-Quran.

Surah ini mengandungi 7 ayat yang merupakan surah makkiyah (surah yang di turunkan sebelum hijrah Rasullullah s.a.w.)Nama-nama selain Al-Fatihah adalah seperti berikut:-

1) Ummul Kitab(Ibu segala kitab)yang merangkumi pentafsirannya ke atas ketauhidan,pengibadatan dan muamalat terhadap Allah s.w.t.

2) Assab'ulmasani(7 ayat) sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hajr ayat 87 yang bermaksud :" Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya ".

3) Al-Hamdu (Segala Puji). 5) Asy-syifa'(Pengubat). 6) Al-Asas(Asas Al-Quran).

7) Ar-ruqyah(Jampi atau Mentera) dan 8) Al-Kafiah(Mencukupi).

Jom!!baca..sebutan huruf pastikan betul..tajwid dijaga panjang atau pendek bacaannya dan dengung serta yang berkaitan..sebaiknya bacaanlah dengan fasih dan bertarannum macam Akademi Quran.



[1]
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[2]
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[3]
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4]
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

[5]
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

[6]
Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7]
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

" Menuntut ilmu merupakan kewajipan setiap umat islam ".

Semoga hidup kita sentiasa dalam ilmu..mencari,menimba ilmu dari hari ke hari sehingga di akhir hayat.

Kepada Allah sebaik-baik penyerahan.

Renungan Bersama

| Saturday, January 30, 2010




Perangsang Jiwa

| Wednesday, January 27, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

Firman Allah S.W.T. :-

[1]
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2]
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3]

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
[4]
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
[5]
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
( Surah Al-Alaq)

Surah ini telah kita ketahui merupakan ayat pertama Allah s.w.t turunkan kepada Rasullullah s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ketika wahyu pertama buat Baginda Junjungan.Ini menjadi petunjuk bahawa Allah s.w.t menghendaki kita membaca..dalam erti kata belajar..sebagaimana Allah letakkan kedudukan yang tinggi pada penuntut ilmu dan seterusnya mengamalkan ilmu yang diperolehi.

" Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan ". (Surah Al-Mujadalah)

Daripada Abu Darda' r.a. berkata: Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda:" Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga.Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu ".

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda: " Apabila meninggal dunia seorang Anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali yang datang dari tiga sumber.Pertama,Sedekah Jariah.Kedua,Ilmu yang memberi manfaat.Ketiga,Doa anak yang soleh dan solehah ".

Banyak kata-kata perangsang lain yang boleh menjadi penerang jiwa untuk menimba ilmu antaranya " Ilmu ibarat cahaya yang menyuluh diri dan seisinya "," Ilmu dan Amal itu asas kejayaan " dan " llmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah ".

Semoga Ilmu yang diperolehi sepanjang hidup kita memberi manfaat buat diri,keluarga dan masyarakat seterusnya menjadi suatu amalan dan ganjaran buat bekalan kita di akhirat nanti.

" Kepada Allah s.w.t sebaik-baik penyerahan ".

Definisi Ilmu

| Sunday, January 24, 2010
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

Dikatakan setelah kenal maka akan datang rasa suka dan sayang.Kenal dalam erti kata lain berkehendak sesuatu untuk merubah diri dari malas kepada rajin,dari pendiam kepada peramah dan seterusnya menjadikan diri berilmu yang dapat memberi manfaat buat diri,keluarga dan orang lain.

Menimba llmu membawa anda kepada mengenali apakah yang dinamakan ilmu?Dari mana asalnya?Definisi ilmu dari pelbagai pandangan tokoh ilmuan..Jom baca penjelasan di bawah ini..

Secara bahasa (al-‘ilmu) adalah lawan dari (al-jahl atau kebodohan) berasal dari perkataan arab, iaitu mengetahui sesuatu sesuai dengan keadaan yang sebenarnya, dengan pengetahuan yang pasti.

Secara istilah dijelaskan oleh sebahagian ulama bahwa ilmu adalah ma’rifah (pengetahuan) sebagai lawan dari al-jahl (kebodohan), lebih jelas dari apa yang diketahui dan dalam erti lainnya adalah segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya serta alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Definisi ilmu menurut para ilmuan, di antaranya adalah:

1) Pengetahuan yang teratur tentang pekerjaan hukum alam dalam suatu golongan masalah yang sama tabiatnya, mahupun menurut kedudukannya dari luar, mahupun menurut bangunannya dari dalam. - Mohammad Hatta.

2) Ilmu merupakan suatu sistem yang paling dapat diandaikan dibandingkan dengan sistem lainnya dalam memahami masa lampau, sekarang , serta mengubah masa depan.- T. Jacob.

3) Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. - Noraziah Sharuddi.

Kesimpulannya yang boleh di ambil adalah ilmu merupakan pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut.

" Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad ".

" Menuntut ilmu merupakan kewajipan setiap umat islam ".

Semoga hidup kita sentiasa dalam ilmu..mencari,menimba ilmu dari hari ke hari sehingga di akhir hayat.

Kepada Allah sebaik-baik penyerahan.

Kalam Pertama

|
Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera,salam ceria buat pengunjung blog Menimba Ilmu.

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan kita.Dengannya dapat menjadikan kita seorang yang berpengetahuan.Sudah pasti,orang berilmu mudah di dampingi dan di kehendaki oleh masyarakat.Tanpa ilmu kehidupan sudah tentu di bayangi suatu keraguan dan ketidakpastian.Perlulah diingati selalu bahawa ilmu perlulah di seimbangi dengan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Memulai kalam pertama Menimba Ilmu,marilah kita meneliti kalam dari Syaidina Ali k.w.,Menantu Rasullullah s.w.t berkaitan ilmu berbanding harta.

1. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu adalah pusaka nabi-nabi, manakala harta adalah pusaka Qarun dan Firaun.

2.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu memelihara kamu, tetapi kamu pula yang memelihara harta.

3.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu ramai taulannya dan sebaliknya orang yang berharta ramai seterunya.

4.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu apabila dinafkahkan akan bertambah, tetapi harta pula apabila dinafkahkan akan berkurangan.

5.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu diseru dengan nama yang mulia, manakala orang yang berharta diseru dengan nama bakhil.

6.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak perlu dipelihara daripada pencuri, tetapi harta perlu dipelihara daripada pencuri.

7.
Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu akan diberi syafaat diakhirat nanti, manakala orang yang berharta akan dihisab hartanya.

8.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak akan binasa, manakala harta pula akan binasa.

9.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu itu melembutkan hati dan harta pula mengeraskan hati.

10.Ilmu lebih baik daripada harta kerana yang berilmu mendakwa kehambaan dan yang berharta mendakwa ketuhanan.


" Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad ".

" Menuntut ilmu merupakan kewajipan setiap umat islam ".

Semoga hidup kita sentiasa dalam ilmu..mencari,menimba ilmu dari hari ke hari sehingga di akhir hayat.

Kepada Allah sebaik-baik penyerahan.